CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

22 April 2012

Larangan Khianat dan Menyia-nyiakan Amanah

Assalamualaikum Para pembaca yang budiman. Tujuan saya menulis tajuk ini bukanlah untuk memburukkan sesiapa pun, namun ingin berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman saya kepada pembaca-pembaca sekalian. Tajuk ini amat bagus untuk kita renungi bersama-sama. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang suka mengkhianati sesama manusia. InsyAllah.

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,
Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai  tanggungjawab masing-masing yang menjadikan amanah untuk dilaksanakan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadith baginda:-
Maksudnya:
Dari Abdullah bin Umar Radiallahu-Anhuma berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin.
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)



Apa itu Amanah?
Amanah adalah merupakan segala hak yang dipertanggungjawabkan ke atas seseorang, baik hak itu terhadap Allah Subhanahu Wataala seperti mentaati perintahnya dan menjauhi larangannya, mengerjakan ibadat, berbuat amal salih dan sebagainya. Ataupun hak terhadap sesama manusia seperti menepati janji, berlaku jujur, berbaik sangka, menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami atau isteri dan sebagainya. Agama Islam telah memerintahkan umatnya supaya melaksanakan amanah itu dengan jujur dan sempurna.

 Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan ke atas kita melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kerana jika sekiranya kita ingkar dan tidak menunaikannya, maka ini bererti kita telah melakukan khianat dan khianat itu merupakan salah satu daripada tanda orang munafik

Jadi jelaslah disini ya para pembaca, amanah ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap manusia tidak kira lah orang itu seorang kawan, seorang anak, seorang suami, seorang isteri dan sebagainya. Namun begitu ya para pembaca, masih ada lagi manusia yang pecah amanah sehingga menyebabkan orang lain hidup dalam kesengsaraan akibat perbuatan tersebut. Tidakkah kita berfikir sejenak dua akan kesalahan yang telah kita lakukan??? MasyAllah, Tuhan Maha Kuasa. Setiap ujian yang diturunkan kepada hambaNya itu memberi banyak hikmah dan pengajaran buat kita semua.

Saya berkata demikian kerana diri saya sendiri pernah di khianati oleh kawan baik saya sendiri. Bertapa marahnya saya ketika itu taktala syaitan menguasai kemarahan. Berminggu-minggu saya terpaksa menghadapi dugaan akibat dikhianati. Bayangkan kehidupan saya seharian terganggu, rumah saya didatangi oleh orang yang yang pernah saya kenali. Saya tidak tahu dari mana "orang itu" ambil alamat rumah saya dan berjaya mengesan rumah baru saya di ibu kota. Dari minggu itu saya hidup dalam ketakutan, saya risau akan suami saya yang tidak bersalah. Inilah akibat daripada khianat, orang yang berdendam dengan kita bila-bila masa sahaja boleh merosakkan kehidupan kita. Akibat hidup dalam ketakutan saya kehilangan nyawa yang baru ingin mengenali dunia baru. Namun Alhamdulillah umur saya masih panjang lagi. Tapi saya sedih dengan kehilangan insan baru untuk keluarga kami. Hanya Tuhan yang tahu segala-galanya akibat "stress" dengan kejadian yang menimpa.


Para pembaca sekalian,
Khianat ialah seseorang yang telah diberi kepercayaan kepadanya oleh orang lain tetapi ia tidak mematuhi dan menunaikan amanah yang dipercayakan kepadanya. Sebagaimana contoh, seorang suami telah diamanahkan oleh agama supaya memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya tetapi tidak menunaikannya bahkan mengabaikannya, maka dalam hal ini ia telah melakukan khianat. 

Jika diberi amanah memilih pekerja ia akan memilih dari kalangan ahli keluarganya walaupun ada orang yang lebih layak memenuhi syarat-syarat yang ditentukan untuk menjawat jawatan tersebut,  begitu juga halnya dengan orang yang mungkir janji, berdusta, menipu, mendedahkan rahsia orang lain, maka semua contoh yang disebutkan tadi dinamakan sebagai perbuatan khianat.
  Terdapat banyak hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menyebut tentang perbuatan khianat, antaranya ialah sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-
Maksudnya:
Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma ia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa mengambil seseorang untuk bekerja di sebuah jabatan kerana ada hubungan kekeluargaan, padahal ada orang lain yang lebih disukai oleh Allah daripadanya, maka sesungguhnya ia telah berlaku khianat kepada Allah dan Rasulnya dan kepada orang mukmin. (Riwayat Al-Imam Al-Hakim)
 
Khianat adalah merupakan perbuatan buruk dan keji dan termasuk dalam golongan dosa besar, ianya bukan sahaja boleh menimbulkan permusuhan, tetapi juga boleh merosakkan agama. Perbuatan khianat itu adalah perbuatan orang-orang munafik. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-
Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu : Dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tanda orang munafik itu ada tiga perkara iaitu jika ia berbicara sentiasa berdusta, dan apabila berjanji sentiasa mungkir janji, dan apabila diberi kepercayaan ia mengkhianatinya. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Para pembaca sekalian,
Ketahuilah bahawa seseorang yang benar-benar mengaku dirinya sebagai orang Islam tidak akan sanggup berlaku khianat terhadap agamanya seperti menyebarkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak akan menyelewengkan akidah dirinya dan saudara-saudara Islamnya yang lain. Dan mereka juga tidak akan mengkhianati negaranya dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti melakukan rasuah, mengedar wang palsu, menyalahgunakan kuasa dan membocorkan rahsia yang diamanahkan kepadanya. Kerana perbuatan-perbuatan tersebut adalah amat merbahaya dan boleh mengancam keselamatan sesebuah negara, dan boleh menimbulkan kekacauan, dan huru-hara, meruntuhkan kestabilan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara dan seterusnya menghancurkan negara.

Perlu juga diingat, seorang pemimpin atau ketua yang telah diberi kepercayaan untuk memimpin, baik negeri, jabatan atau sebarang organisasi dan kumpulan, hendaklah melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sempurna dan berpegang dengan firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa, ayat 58:-
Tafsirnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan suruhannya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.
Yang demikian itu adalah menjadi kewajipan seorang pemimpin. Manakala orang yang dipimpin pula, hendaklah taat dan patuh terhadap arahan dan peraturan selagi tidak bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana dengan berbuat demikian sahajalah boleh menghasilkan kejayaan dan keuntungan, baik kepada individu, kumpulan atau kepada jabatan dan seterusnya negara.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Khianat atau pecah amanah adalah suatu perbuatan yang amat merbahaya dan berdosa yang mesti dijauhi. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, semua yang kita miliki hanyalah pinjaman dan tidak kekal, dan ianya merupakan ujian dari Allah Subhanahu Wataala. Oleh itu tunaikanlah amanah-amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan kita akan selamat di dunia dan di akhirat. 

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal, ayat 27:- Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasulnya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya.


Diharap agar semua pembaca mengambil iktibar dan pengajaran melalui perkongsian ilmu yang saya kemukakan ini. Bersama-samalah kita menjadi orang yang amanah dan hindari melakukan kemungkaran kepada Tuhan yang Satu. Amin.

0 Jum komen2: