Assalamualaikum Para pembaca yang budiman. Tujuan saya menulis tajuk ini bukanlah untuk memburukkan sesiapa pun, namun ingin berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman saya kepada pembaca-pembaca sekalian. Tajuk ini amat bagus untuk kita renungi bersama-sama. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang suka mengkhianati sesama manusia. InsyAllah.
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai tanggungjawab masing-masing yang menjadikan amanah untuk dilaksanakan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadith baginda:-
Dari Abdullah bin Umar Radiallahu-Anhuma berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Apa itu Amanah?
Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan ke atas kita melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kerana jika sekiranya kita ingkar dan tidak menunaikannya, maka ini bererti kita telah melakukan khianat dan khianat itu merupakan salah satu daripada tanda orang munafik
Jadi jelaslah disini ya para pembaca, amanah ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap manusia tidak kira lah orang itu seorang kawan, seorang anak, seorang suami, seorang isteri dan sebagainya. Namun begitu ya para pembaca, masih ada lagi manusia yang pecah amanah sehingga menyebabkan orang lain hidup dalam kesengsaraan akibat perbuatan tersebut. Tidakkah kita berfikir sejenak dua akan kesalahan yang telah kita lakukan??? MasyAllah, Tuhan Maha Kuasa. Setiap ujian yang diturunkan kepada hambaNya itu memberi banyak hikmah dan pengajaran buat kita semua.
Saya berkata demikian kerana diri saya sendiri pernah di khianati oleh kawan baik saya sendiri. Bertapa marahnya saya ketika itu taktala syaitan menguasai kemarahan. Berminggu-minggu saya terpaksa menghadapi dugaan akibat dikhianati. Bayangkan kehidupan saya seharian terganggu, rumah saya didatangi oleh orang yang yang pernah saya kenali. Saya tidak tahu dari mana "orang itu" ambil alamat rumah saya dan berjaya mengesan rumah baru saya di ibu kota. Dari minggu itu saya hidup dalam ketakutan, saya risau akan suami saya yang tidak bersalah. Inilah akibat daripada khianat, orang yang berdendam dengan kita bila-bila masa sahaja boleh merosakkan kehidupan kita. Akibat hidup dalam ketakutan saya kehilangan nyawa yang baru ingin mengenali dunia baru. Namun Alhamdulillah umur saya masih panjang lagi. Tapi saya sedih dengan kehilangan insan baru untuk keluarga kami. Hanya Tuhan yang tahu segala-galanya akibat "stress" dengan kejadian yang menimpa.
Khianat ialah seseorang yang telah diberi kepercayaan kepadanya oleh orang lain tetapi ia tidak mematuhi dan menunaikan amanah yang dipercayakan kepadanya. Sebagaimana contoh, seorang suami telah diamanahkan oleh agama supaya memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya tetapi tidak menunaikannya bahkan mengabaikannya, maka dalam hal ini ia telah melakukan khianat.
Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma ia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa mengambil seseorang untuk bekerja di sebuah jabatan kerana ada hubungan kekeluargaan, padahal ada orang lain yang lebih disukai oleh Allah daripadanya, maka sesungguhnya ia telah berlaku khianat kepada Allah dan Rasulnya dan kepada orang mukmin. (Riwayat Al-Imam Al-Hakim)
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu : Dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tanda orang munafik itu ada tiga perkara iaitu jika ia berbicara sentiasa berdusta, dan apabila berjanji sentiasa mungkir janji, dan apabila diberi kepercayaan ia mengkhianatinya. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Ketahuilah bahawa seseorang yang benar-benar mengaku dirinya sebagai orang Islam tidak akan sanggup berlaku khianat terhadap agamanya seperti menyebarkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak akan menyelewengkan akidah dirinya dan saudara-saudara Islamnya yang lain. Dan mereka juga tidak akan mengkhianati negaranya dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti melakukan rasuah, mengedar wang palsu, menyalahgunakan kuasa dan membocorkan rahsia yang diamanahkan kepadanya. Kerana perbuatan-perbuatan tersebut adalah amat merbahaya dan boleh mengancam keselamatan sesebuah negara, dan boleh menimbulkan kekacauan, dan huru-hara, meruntuhkan kestabilan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara dan seterusnya menghancurkan negara.
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan suruhannya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.
Khianat atau pecah amanah adalah suatu perbuatan yang amat merbahaya dan berdosa yang mesti dijauhi. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, semua yang kita miliki hanyalah pinjaman dan tidak kekal, dan ianya merupakan ujian dari Allah Subhanahu Wataala. Oleh itu tunaikanlah amanah-amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan kita akan selamat di dunia dan di akhirat.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasulnya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya.
Diharap agar semua pembaca mengambil iktibar dan pengajaran melalui perkongsian ilmu yang saya kemukakan ini. Bersama-samalah kita menjadi orang yang amanah dan hindari melakukan kemungkaran kepada Tuhan yang Satu. Amin.